Aku & Mimpi
Kata orang mimpi adalah mainan tidur, mungkin juga satu ingatan dari peristiwa yang timbul ketika minda separa sedar. Tidak kurang yang berkata Mimpi adalah permainan syaitan.
Sejujurnya sudah lama saya tidak bermimpi. dan selalunya saya tidak dapat mengingati apa pun dari mimpi tersebut. tapi beberapa hari yang lepas, sehingga kini mimpi itu seakan-akan terus ingin memberitahu aku tentang sesuatu sehingga aku dapat menghafal mimpi itu atau seperti juga dikatakan tadi, mungkin ia sekadar mainan tidur kerana hanya Allah sahajalah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
Tafsir mimpi menurut Islam:
Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata:
Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung didalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah tidak bermimpi melainkan mimpi baginda menjadi kenyataan. Sedangkan mimpi insan yang tidak beriman merupakan berita yang disebarkan oleh syaitan.Menurut ahli-ahli ta'bir, mimpi ada tiga macam:
- 1.Peristiwa yang menggembirakan yang benar yang terjadi setelah bermimpi, dan ini tidak memerlukan penafsiran.
- 2.Mimpi yang batil atau permainan syaitan, iaitu mimpi yang tidak dapat diperincikan oleh orang yang bermimpi. Ertinya orang yang bermimpi itu tidak sanggup mengingat tertib atau jalan cerita mimpi itu. Mimpi seperti ini dianggap batil dan tidak mempunyai sebarang makna atau takwil.
- 3.Keinginan nafsu. Seperti kita ketahui nafsu ada tiga, iaitu nafsu mutmainnah, nafsu lawwamah dan nafsu ammarah. Mimpi seperti ini terjadi kerana pengaruh fikiran seseorang. Sesuatu yang dia lakukan atau dia khayalkan siang hari atau menjelang tidurnya selalu menjelma ketika tidurnya sebelum itu.
Ringkasan Mimpi
Saya bermimpi didatangi seorang Pemuda berserban putih yang buta namun tidak jelas wajahnya. Walaupun pada mulanya saya takut kerana tidak mengenali siapa pemuda asing ini tapi entah mengapa lama kelamaan kami menjadi sahabat yang paling akrab.
Setiap hari ada sahaja cerita yang akan dikongsikan bersama dan setiap petang dia akan menurunkan kepalanya dibahu saya sambil bercerita. Saya tahu yang kadang-kadang dia sebenarnya bersedih walaupun dia tidak punya airmata. dan begitulah yang berlaku setiap petang.
Petang terakhir, entah bagaimana saya dapat melihat wajah pemuda itu. dan saya terkejut kerana pemuda itu adalah sesorang yang saya kenal di luar mimpi (kenal betul-betul) dan akhirnya saya terjaga.
Yang pasti, mimpi itu telah meninggalkan sedikit kesan dalam hati ini. dan ada masanya saya tidak tenang. ada juga saya sendiri cuba mentakwil dan mencari tafsir disebalik mimpi itu, namun saya masih tidak ketemu jawapan.
Apa yang saya tahu (mungkin melalui beberapa bacaan), jika bermimpi berkaitan sesorang yang 'Mata-buta'. bermakna akan ada seseorang yang inginkan pertolongan kita (atau mungkin diri sendiri perlukan pertolongan). Wallahualam. Hanya Allah yang tahu.
Akan tetapi yang lebih penting sebenarnya, saya ingin mendoakan Kesejahteraan & Keselamatan kepada Pemuda tersebut dan sekiranya dia perlukan pertolongan. Ketahuilah 'bahu' saya sentiasa ada untuk kamu ya wahai sahabat. Semoga Allah sentiasa melindungi kamu dan mudah-mudahan kamu sentiasa berada di bawah Rahmat-Nya. Amin.
*takut nak cakap kepada pemuda itu khuatir kalau-kalau mainan mimpi ini mungkin akan menggangu emosinya kerana saya percaya ada perkara yang lebih baik tidak diperkatakan. kan?
Comments