Bersama Ujian datangnya Rahmat

*Original link dari {blog.tintakata}yang tidak lagi aktif. namun artikel ini dikongsi dari http://www.life-verses.protajdid.com

Allah berfirman di dalam Al-Quran;

“Dan sesungguhnya Kami akan memberikan dugaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (nyawa) dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. 
Iaitu mereka yang apabila ditimpakan dengan musibah, mereka mengucapkan;“Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.” 

[Al-Baqarah: 155-156]


Ayat tersebut adalah cebisan kalam peringatan di dalam Al-Quran daripada Allah mengenai dugaan serta ujian yang akan ditimpakan kepada para manusia dan melalui jalan apa manusia itu bakal diuji.
Al-Sa’di menafsirkan ayat ini dengan berkata bahawa Allah Ta’ala mengkhabarkan kepada hamba-Nya bahawa tidak dapat tidak Dia akan menguji hamba-Nya, dan inilah sunnah Allah. Beliau menyebutkan perkara ini dengan satu ungkapan; “Kerana jika waktu senang itu berterusan ke atas seorang mukmin, dan tidak pula dia mendapat satu dugaan bersamanya, maka akan terhasillah suatu keserabutan, yakni kerosakan. Dan hikmah Allah menjadikan perkara ini adalah untuk membezakan insan yang baik dan insan yang jahat. Dan inilah ganjaran kepada kesusahan itu, ia tidak memusnahkan apa-apa daripada keimanan seorang mukmin, dan tidak mencabut dia daripada agamanya ”
Dan di dalam ayat yang sama juga Allah telah mengkhabarkan bahawa kepada orang-orang yang sabar dalam menghadapi musibah itu, untuk mereka khabar gembira. Dan di dalam ayat yang seterusnya Allah menceritakan bahawa orang-orang yang bersabar itu adalah mereka yang mengucapkan kalimah istirja’ iaitu, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” yang bermaksud “sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.”
Imam Ibn Katsir menafsirkan bahawa orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan kalimahistirja’ untuk menenangkan hati mereka dan mereka mengetahui bahawa pemilik bagi diri mereka adalah Allah yang boleh melakukan apa sahaja kepada hamba-Nya sebagaimana yang Dia mahukan, dan mereka mengatahui bahawa Dia tidak mensia-siakan perbuatan walaupun sebesar zarah pada hari akhirat kelak.
Seterusnya, Imam Ibn Katsir menukilkan sebuah hadis yang cukup besar faedahnya sebagaimana yang direkodkan oleh Imam Ahmad:
“Daripada Ummu Salamah, yang berkata: Pada suatu hari, telah datang kepadaku Abu Salamah setelah dia bertemu Rasulullah SAW dan berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar suatu perkataan daripada Rasulullah yang menggembirakan hatiku. Baginda berkata: “Tidak ada suatu musibah yang menimpa kaum muslimin lalu dia mengucapkan kalimah istirja’ dan kemudian berkata: Wahai Tuhan, ganjarilah daku atas kehilanganku dan gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik.” Ummu Salamah berkata: Maka aku pun menghafalnya. Dan apabila Abu Salamah meninggal dunia, aku mengucapkan kalimah istirja’ dan mengucapkan (perkataan tersebut): “Wahai Tuhan, ganjarilah daku atas kehilanganku dan gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik.” Dan aku kemudian terfikir kembali akan perkara ini dan berkata: Siapalah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Tidak lama kemudian selepas tempoh ‘iddah ku tamat, aku diminta izin oleh Rasulullah SAW untuk menemuiku – sewaktu itu aku sedang mewarnakan kulit binatang milikku – maka aku membasuh tanganku dan memberikan izin kepada baginda untuk masuk dan memberikannya bantal, dan baginda telah duduk di atasnya. Dan baginda telah meminangku, dan kemudian apabila baginda menghabiskan ucapannya, aku berkata: Wahai Rasulullah, tidaklah aku tidak mahukanmu. Namun aku seorang perempuan yang keras cemburunya. Aku takut engkau akan melihat dari sisiku kesilapan yang akan memurkakan Allah. Aku ini perempuan yang sudah lanjut usianya dan punyai anak. Baginda berkata; “Akan kecemburuan yang telah engkau sebutkan, maka Allah akan mengeluarkannya darimu. Dan tentang usiamu yang lanjut, aku telah merasai apa yang engkau rasa. Dan bahawa engkau mempunyai anak, sesungguhnya aku juga mempunyai anakku sendiri.” Ummu Salamah berkata: Aku telah menyerah kepada Nabi SAW. Maka dia telah mengahwini baginda dan Ummu Salamah berkata selepas itu: “Allah telah memberikan ganti yang lebih kepada aku daripada Abu Salamah, iaitu Rasulullah SAW sendiri.”
Di dalam hadis yang panjang itu, terkandung poin yang berkait rapat dengan faedah mengucapkan kalimah istirja’setiap kali ditimpa musibah, serta kemudiannya berdoa supaya Allah memberikan ganjaran atas musibah yang dilalui serta kehilangan yang dirasai.
Justeru, Allah kemudiannya berfirman di dalam ayat ke seterusnya dari surah yang sama:
“Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Al-Baqarah: 157]
Imam Al-Baghawi berkata bahawa ayat ini menerangkan bahawa mereka yang mempunyai sifat tersebut (sabar serta beristirja’ apabila ditimpa musibah) akan mendapat solawat yakni rahmat daripada Allah. Dan Imam Al-Baghawi mentafsirkan ayat; “mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” dengan satu transisi yang membawa maksud mereka itu mula dengan beristirja’ kemudiannya pergi kepada kebenaran dan kebaikan, dan kemudian kepada syurga serta ganjaran yang besar dan beliau menukilkan satu ungkapan daripada Umar Al-Khattab: “Nikmat keadilan dan nikmat ketinggian (ganjaran). Keadilan adalah Al-Solawah dan Al-Rahmah, dan ketinggian adalah hidayah.”

Comments

AtieAbid said…
setiap yg berlaku ada hikmahnya..antara sedar atau tidak saja..

Popular Posts