Langkah-langkah Memperkasa Benteng Diri Dan Menguatkan Rohani
1- Memurnikan Tauhid Dan Meluruskan Akidah:
Proses bagi memurnikan tauhid, iaitu  hanya bertuhankan Allah s.w.t. dan tidak selainNya perlu menjadi amalan  dan diperjuangkan seumur hidup, sehingga individu itu berjaya  mengucapkan kalimah tauhid pada akhir kalamnya. Dalam erti mendalam  ialah  mengeluarkan segala kebesaran makhluk (selain Allah s.w.t.) dan hanya  ada kebesaran Allah s.w.t. di dalam hati, jiwa dan minda. Sehingga tiada  sebarang makhluk yang menjadi sumber ketakutan, ketaatan dan kepatuhan  selain Allah s.w.t. Akidah wajib diluruskan pada setiap waktu melalui  menuntut ilmu serta mengamalkannya dan sentiasa bermuhasabah diri  sendiri untuk terus bertaqarrub kepada Allah s.w.t.
Semua manusia hanya perlu menyembah  kepada Allah s.w.t., meminta hanya kepada Allah, berharap hanya kepada  Allah, mengadu dan berdoa hanya kepada Allah s.w.t. serta mengingati  Allah s.w.t. pada waktu susah dan senang. Hubungan dengan Allah s.w.t.  perlu dijaga dan disuburkan dengan sentiasa bermunajat, berzikir dan  mencintai Allah s.w.t. Dengan adanya perasaan ini, kita tidak perlu lagi  menggunakan tangkal dan azimat. Kita tidak perlu bergantung harap  kepada manusia ataupun apa jua makhluk Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t.  sahaja yang perlu diagungkan, dimuliakan dan dibesarkan.
2. Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Umat Islam perlu meyakini dan memahami  bahawa tiada kejayaan melainkan mentaati perintah Allah s.w.t. serta  mengikuti sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Wajib meyakini bahawa setiap  ajaran yang ditunjukkan oleh baginda adalah yang terbaik dan kita perlu  mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Beliau adalah seorang yang  maksum, iaitu terpelihara daripada segala dosa. Beliau juga yang memberi  syafaat di padang mahsyar kelak. Setiap perkataan, perbuatan dan buah  fikirannya adalah daripada Allah s.w.t. semata-mata.
Segala sunnah begitu dibenci oleh  syaitan, iblis dan jin-jin yang jahat. Amalan sunnah Nabi s.a.w. bukan  sahaja mempunyai faedah kerohanian tetapi juga perlindungan daripada  gangguan mereka. Antara contoh amalan harian berdasarkan sunnah Nabi  s.a.w. adalah seperti berikut:
- Mengamalkan doa sebelum tidur, membaca ayat Kursi dan 3 Qul sebelum tidur. Doa-doa ini diamalkan bagi mendapatkan perlindungan daripada gangguan syaitan dan iblis.
- Membaca doa dan menyebut nama Allah s.w.t. ketika masuk dan keluar rumah. Amalan ini menjadikan rumah itu terhindar daripada didiami jin, syaitan dan iblis pada hari itu.
- Membaca ayat Kursi ketika keluar rumah. Allah s.w.t. melindungi orang yang mengamalkan ayat ini daripada gangguan syaitan dan iblis.
- Membaca doa ketika jimak dapat mengelakkan persetubuhan dari disertai oleh jin dan syaitan, insyaAllah zuriat yang dilahirkan akan mendapat perlindungan Allah s.w.t. daripada gangguan syaitan dan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Terdapat banyak lagi amalan sunnah  Nabi Muhammad s.a.w. dalam setiap aspek kehidupan. Oleh itu kita perlu  mendalami ilmu-ilmu berkaitan dengan sunnah Nabi s.a.w. dengan cara  berguru dengan para alim ulama secara berterusan bagi memperkasa benteng  diri daripada gangguan jin, syaitan dan iblis.
 Solat adalah tiang agama. Ia adalah  salah satu dari rukun-rukun Islam. Mendirikannya adalah wajib bagi  mereka yang cukup syarat-syaratnya. Selepas iman, solat adalah amalan  pertama yang akan dihisab oleh Allah s.w.t. Mereka yang mengaku Islam  wajib mendirikan solat. Solat menghubungkan diri dengan Allah s.w.t.  Nabi Muhammad s.a.w. sudah pun menunjukkan kadar minimum yang wajib dilakukan adalah 5 kali sehari semalam.
Amalan solat perlu sempurna dari segi  perlaksanaan fizikal, iaitu mengikut hukum fiqh yang betul dan  perlaksanaan khusyuknya. Solat yang betul dari segi perlaksanaan syariat  tetapi tidak khusyuk tetap dapat pahala tetapi kurang memberi kesan  pada hati. Solat yang khusyuk tetapi tidak betul seperti yang diajar  oleh Nabi muhammad s.a.w. tidak diterima oleh Allah s.w.t. Oleh itu  solat mestilah betul dari segi syariatnya dan benar dari segi khusyuknya  untuk menjadi benteng kerohanian yang kuat demi melawan segala godaan  jin, syaitan dan iblis. Solat yang sempurna akan dapat mencegah manusia  daripada melakukan perkara-perkara keji dan mungkar. Perlaksanaan  terbaik mengikut cara Nabi Muhammad s.a.w. ialah dengan solat  berjemaah…..baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu berjemaah  hingga baginda wafat.
Selain solat fardhu, solat-solat sunat  amat perlu dilakukan sebagai cara mengukuhkan hubungan dengan Allah  s.w.t. Di antara solat sunat yang amat digalakkan memperbanyakkannya  ialah solat tahajjud, solat dhuha, solat witir dan solat sunat rawatib.
4. Memperbanyakkan Membaca al-Quran Dan Mentaddabur Isi Kandungannya
Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai panduan. Al-Quran juga adalah sebagai sumber  penyembuh dan rahmat yang diturunkan kepada orang-orang beriman.  Al-Quran perlu dibaca setiap hari bagi mendapat petunjuk, keberkatan dan  nur. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang dapat dijadikan  amalan harian ataupun amalan ruqyah sebagai rawatan penyakit yang  berpunca daripada jin, syaitan dan iblis. Ayat-ayat seperti ini perlu  diamalkan dengan yakin kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. sahaja  zat yang Maha Penyembuh. Amalkan ayat-ayat tersebut setiap hari secara  istiqomah (konsisten) agar sebati dengan diri sehingga tidak ada lagi  jin, syaitan dan iblis yang mampu mengganggu kita.
5. Memperbanyakkan Selawat Ke Atas Nabi Muhammad S.A.W. Dan Ahli Keluarga Serta Sahabat-sahabat Beliau
Umat Islam digalakkan memperbanyakkan  selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta  sahabat-sahabat beliau. Orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad  s.a.w. sekali , Allah s.w.t. berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali.  Memperbanyakkan selawat mendatangkan rahmat Allah s.w.t. kepada  pembacanya. Kita digalakkan menutup doa kita dengan selawat ke atas Nabi  Muhammad s.a.w., supaya Allah s.w.t. mendengar doa itu. Memperbanyakkan  selawat juga dapat menjamin orang itu mendapat syafaat Nabi Muhammad  s.a.w. ketika berada di padang mahsyar kelak.
Bolehlah diamal mana-mana selawat dan  terlebih afdhal selawat dianjurkan dalam hadis-hadis sahih seperti  selawat di dalam tahiyyat akhir dalam solat.
6. Menjauhi Dan Meninggalkan Maksiat Dan Dosa
Amalan dosa dan maksiat disukai oleh  jin, syaitan dan iblis. Melakukan dosa besar ataupun mengekalkan  dosa-dosa kecil akan menggelapkan hati. Hati yang hitam dengan dosa  sukar mendapat hidayah dan sukar mendengar nasihat. Sekiranya orang itu  berkekalan dengan segala bentuk maksiat, Allah s.w.t. akan menghantar  jin,syaitan dan iblis menjadi temannya. Pesakit gangguan jin digalakkan  melakukan taubat nasuha, iaitu meninggalkan amalan-amalan dosa dengan  melakukan solat taubat dan ditambah dengan beristighfar kepada Allah  s.w.t. supaya diampuni dosanya. Amalan-amalan yang dapat melalaikan  seperti bercakap lucah, mendengar muzik yang melekakan, pergaulan bebas  antara lelaki dan perempuan perlu ditinggalkan dan dijauhi.
7. Memperbanyakkan Amalan-amalan Sunat
Setiap perkara yang baik dapat  mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. tidak disukai oleh jin, syaitan dan  iblis. Melakukan banyal amalan-amalan sunat adalah cara bagi  mendapatkan cinta dan kasih sayang Allah s.w.t. Antara amalan sunat yang  perlu diperbanyakkan adalah solat-solat sunat, puasa sunat, membaca  al-Quran, berzikir, berdoa, bersedekah dan bercakap yang baik-baik.
Pesakit gangguan jin juga digalakkan  memperbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya Allah  s.w.t. memberkati proses penyembuhan penyakit yang dilaluinya. Selagi  Allah belum memakbulkan kesembuhan, beliau perlu redha dengan sakit yang  dialami dengan harapan, Allah s.w.t. memberi keampunan dosa.  Kemungkinan penyakit itu akibat dosanya sendiri atau sebagai kafarah  baginya. Bertahajud serta berzikir dan bertaubat juga dapat menguatkan  rohani. Ia juga dapat menjadi benteng daripaga segala bentuk gangguan  jin, syaitan dan iblis.
8. Sentiasa Berdamping Dengan Alim Ulama, Orang Soleh Dan Rakan-rakan Yang Baik
Mendekati dan berdamping dengan orang  alim, soleh dan rakan-rakan yang baik adalah cara bagi memotivasikan  diri supaya menjadi baik. ini memudahkan seseorang melakukan amalan baik  dan secara automatik beliau terpelihara daripada melakukan maksiat dan  dosa.
Alim ulama pula adalah orang yang begitu  dibenci oleh jin, syaitan dan iblis, terutamanya yang dapat menjalankan  rawatan sakit gangguan jin, syaitan dan iblis. Mereka ini perlu  dijadikan tempat rujukan bagi mendalami perihal Islam, iman dan ihsan.

Comments