Archives

Post

6 Sebab Hati Mati/Rosak

1.Sengaja berbuat dosa karena ingat masih ada harapan untuk bertaubat.
2.Mengajarkan ilmu pengetahuan tetapi tidak mengamalkannya.
3.Buat amalan tapi tidak ikhlas.
4.Makan rezeki daripada Allah tetapi tidak mahu mensyukurinya.
5.Tidak pernah puas dengan pemberian Allah.
6.Mengebumikan Jenazah tetapi tidak pernah mengambil pelajaran dari peristiwa itu.

Al-Hasan Al-Basri


Post

Fitrah

Sumber : IluvIslam

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (Surah Ar-Rum 30: Ayat ke 30)

Perkataan fitrah merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab iaitu fatara. Menurut Kamus Dewan (1998), istilah fitrah ditakrifkan sebagai satu sifat semula jadi, bakat pembawaan atau perasaan keagamaan. Ringkasnya fitrah ialah satu sifat semula jadi atau bakat semulajadi yang berupa dorongan atau pembawaan yang ada pada setiap manusia sejak dilahirkan ke dunia ini. Maka, fitrah manusia boleh diertikan sebagai insan yang mempunyai bakat atau potensi semula jadi serta perasaan keagamaan. Aa Gym pula mendefinisikan fitrah sebagai tabiat yang suci dan asli yang dibawa manusia sejak lahir, dan belum pernah disentuh atau diubah. Ia merupakan satu anugerah dari Tuhan sama ada dalam bentuk fizikal atau mental. Ia juga merupakan suatu ketetapan Tuhan sejak manusia itu belum dilahirkan. Biasanya fitrah manusia dikategorikan kepada dua kategori iaitu yang pertama ialah kejasmanian, kebendaan dan keduniaan manakala yang kedua ialah kategori kerohanian, keakhiratan dan ketuhanan.

Setiap manusia yang dilahirkan mempunyai keunikan yang tersendiri dan ia meliputi semua bidang kehidupan. Potensi ini terkandung dalam beberapa aspek seperti jasmani, mental, kerohanian dan emosi. Seseorang individu itu berkemampuan untuk mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka ke tahap yang maksima. Menurut Rogers (1951), manusia berkeupayaan untuk menjadi positif dan baik dan kerana itu manusia sentiasa berusaha ke arah penyempurnaan diri.
Di dalam agama Islam, fitrah merujuk kepada kekuatan manusia untuk mengetahui agama yang benar dan Tuhan yang menciptakannya. Ini disokong oleh seorang tokoh sarjana Islam iaitu al-Ghazali yang mengatakan bahawa setiap insan wajib mengenali Allah S.W.T yang merupakan fitrah manusia dalam usaha mengenali diri untuk menjadi insan yang bertakwa.

Fitrah kejadian ini dapat dilihat melalui perspektif agama dan persekitaran. Agama adalah satu set kepercayaan, nilai dan amalan yang berasaskan pengajaran. Agama menyediakan satu model untuk diri dan masyarakat dalam pembentukan nilai dan amalan serta ia membantu manusia memahami kejadian di dunia. Konsep ketuhanan merupakan satu aspek luas namun semua agama menekankan kebaikan dan kebenaran.

Setiap manusia yang menghuni alam maya ini mempunyai fitrah beragama, sama ada mereka beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Sejarah sendiri telah membuktikan bahawa manusia sejak dahulu telah mencari sesuatu yang memiliki kuasa tertinggi yang mencipta mereka dan kehidupan di alam ini. Walaupun manusia leka dengan kemewahan duniawi, namun jauh di sudut hati seseorang manusia itu masih ada ruang untuk beriman kepada Allah S.w.t.
Semua agama di dunia ini percaya bahawa setiap manusia yang dilahirkan ke dunia dilahirkan dengan sifat-sifat baik dalam dirinya. Akal yang dianugerahkan oleh Tuhan membezakan manusia dengan segala ciptaannya.

Rasulullah Saw pernah bersabda maksudnya :
"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang musyrik." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dengan kata lain, manusia yang lahir perlu dan berhajat kepada agama. Oleh itu, agama dan manusia tidak boleh dipisahkan. Sifat semula jadi manusia kepada agama sememangnya ada pada setiap manusia yang hidup di muka bumi. Agama adalah fitrah iaitu perasaan semulajadi yang selaras dengan kejadian asal manusia yang diciptakan Allah S.w.t.

Selain daripada kecenderungan untuk beragama, manusia juga mempunyai ciri-ciri yang semulajadi dalam diri mereka apabila dilahirkan. Antara ciri-ciri tersebut ialah keupayaan untuk bertutur. Manusia mempunyai kemampuan untuk berinteraksi dengan simbol, bahasa atau kata-kata.  Kecenderungan menggunakan akal dalam segala bentuk amat digalakkan dalam Islam. Selain keupayaan untuk bertutur, manusia juga memiliki ciri kecenderungan moral yang mana kecenderungan ini amat berkait rapat dengan kecenderungan beragama. 

Manusia mempunyai akal untuk membezakan perkara yang baik dan buruk.  Ia juga boleh menguasai segala keinginan untuk melakukan sesuatu yang melanggar norma masyarakat. Selai itu, manusia juga memiliki  kecenderungan untuk hidup bermasyarakat. Manusia sememangnya mempunyai kecenderungan untuk bersosialisasi atau bermasyarakat.  Mereka tidak mampu hidup bersendirian tetapi perlu berusaha untuk menjalin hubungan dengan anggota masyarakat yang lain.

Kesimpulannya, secara fitrahnya, manusia dilahirkan dengan sifat yang baik yang dianugerahkan oleh penciptanya. Manusia dianugerahkan akal dan mempunyai kebebsan untuk memeilih serta tahu membezakan antara yang baik dan buruk.


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَMaka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui
(Surah Ar-Rum 30: Ayat ke 30)


Post

Apa Khabar kamu hari ini? IMAN

Tangan kanan itu kembali menyentuh dada. Lama. Mata dipejam kejap. Hati dan akal berbicara menukar tanda. Sepakat berkata bahawa, itu rasanya. Rasa. Ya, rasa itu kembali. Rasa itu datang lagi di sini. Rasa itu melabuhi hati. Rasa itu sepertinya- sakit! Sakit yang sungguh tak terperi.

Sepertinya sudah tidak dapat ditahan lagi. Hati sudah tewas dengan perasaan sendiri. Perlahan air jernih itu membasahi pipi. Juga hati dalam sunyi.

"Allah."

Susah payah dengan sendu mulut mengucapkan. Terketar-ketar bibir mengeluarkan. Semakin laju air jernih itu mengalir membasahkan.

"Allah."

Penuh kesakitan.

"Apa khilafku, Ya Allah. Apa salahku, Ya Allah. Apa yang telah aku lakukan mengundang murka-Mu, Ya Allah."

Tangan tetap pada dada. Degupan itu masih terasa. Degupan itu tiada tandingnya. Degupan itu laju bagai tiada penghalangnya. Degupan itu tidak mahu menurun tahap kelajuannya. Degupan itu seperti berkongsi rasa. Rasa yang menguasai semuanya.

Kenapa rasa itu kembali lagi di sini? Rasa saat si dia pergi, memang tidak dapat ditandingi. Rasa saat si dia seperti tidak mahu kembali, memang tidak dapat mungkin diterangkan untuk yang lain fahami. Rasa saat si dia berjalan meninggalkan hati, sakitnya itu bukan sahaja pada hati malah pada akal yang memerhati.


Perasaan sakit itu dikongsi dengan semua pancaindera dari hati.

"Allahu Rabbi, kemana si dia pergi? Di mana si dia harus ku cari? Di mana si dia dapat ku temui? Apa yang perlu aku lakukan untuk si dia kembali?"

Perlahan-lahan tangan diturunkan. Kaki juga dibetulkan silaan. Sejadah di bawah silaan dibetulkan kedudukan. Tangan kembali mengambil utas tasbih yang ditinggalkan atas Kitab Tuhan. Zikir Fatimah dibacakan dalam sendu tangisan. Berusaha untuk kembali menguatkan hati yang seperti tumbang atas kehilangan.

Si dia. Benar, tinggi nilainya si dia untuk aku. Besar wataknya untuk diriku. Tinggi nilainya padaku. Itulah dia, dia yang aku benar-benar mahu. Si dia yang benar-benar aku rindu.

Kehilangan si dia mula-mula seperti tiada rasa. Rasa biasa. Rasa yang ada di mana-mana. Setelah lama si dia tiada, baru kini aku perasaan perginya. Rasa air mata sudah tidak biasa mengalir takutkan Tuhannya. Rasa semakin banyak dosa yang dibuat walau tahu akibatnya. Rasa seperti sudah jauh jaraknya antara aku dengan Yang Maha Esa.

Sudah pelbagai cara diikhtiarkan. Sudah pelbagai bahan ilmu dibacakan. Sudah didengar alunan ayat-ayat kebesaran. Sampai seperti mana semasa si dia itu tiada, air jernih itu sudah berhenti membasahi mata. Dan kini sehingga air jernih itu kembali membasahi. Si dia tetap juga tidak mahu kembali. Apa khilafku kali ini?

Si dia itu, jika kembali lagi menghuni hati. Pasti aku janji untuk tidak mengabaikannya walau seinci. Pasti aku janji untuk tidak melupakannya walau sehari. Pasti aku janji tidak akan lalai untuk bertanya khabarnya dari hati.

Kini si dia telah selamat kembali.

Bibir kembali mengukir senyuman. Air jernih yang mengalir juga sudah dikeringkan. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan. Tangan kembali letaknya pada hati yang degupnya kembali seperti kebiasaan. Mata diturunkan penglihatan.

Dengan kepayahan bibir berbicara pada si dia yang kini sudah kembali,  "Iman, apa khabar kamu hari ini? Janji ya bahawa kamu tidak akan lari dariku lagi."

Dan ya, si dia itu iman. Iman yang dikurnia Ilahi untuk hati.

IluvIslam


Post

Kenapa saya sangat susah mahu taat?

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
"Tidak ada syarat yang harus diletakkan oleh seorang hamba terhadap tuannya dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan."
Kadang-kadang kita berbisik sendirian, "Ya Allah, jika Engkau menunaikan hajatku ini, pastilah aku akan menjadi hamba-Mu yang taat."

Ataupun kadang-kadang hati kita bersuara dengan penuh kesungguhan, "Ya Allah, jika Engkau bantu aku kali ini, pastilah aku tidak akan mengulangi perbuatan maksiatku ini."
Lalu, ketika Allah menunaikan apa yang kita hajatkan, atau menghilangkan apa yang menjadi kerisauan, kita pun terlupa pada janji-janji yang diungkapkan. Kita sewenang-wenangnya meninggalkan ketaatan dan berbuat kemungkaran.

Allah itu Maha Kaya, tidak memerlukan kita. Jika kita tidak taat, keagungan Allah tidak sedikitpun terjejas. Kita tidak memiliki apa-apa yang begitu agung sehingga layak memberikan syarat kepada Allah sebelum kita dapat melakukan ketaatan atau meninggalkan kemaksiatan.



يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَاء إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ


"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Al-Fathir: 15)

Taatlah kepada Allah, sekalipun yang ditimpakan kepada kita adalah musibah yang menyakitkan. Taatlah kepada Allah, sekalipun yang diberi di dunia ini adalah ujian yang begitu menekan.
 
Tinggalkanlah maksiat, sekalipun Allah belum memberimu apa yang kau hajatkan. Tinggalkanlah kemungkaran, sekalipun kesenangan hidupmu tak kunjung tiba.

Hakikatnya, kita hamba, tidak layak meletakkan apa-apa syarat untuk berbuat taat atau meninggalkan tegahan-Nya. Adapun hamba itu tugasnya berbuat apa sahaja yang diperintahkan, kerana dirinya adalah milik tuannya.

Allah memiliki kita, Allah yang telah mengurniakan kehidupan ini kepada kita. Apa sahaja yang kita miliki adalah pemberian-Nya, pinjaman sementara. Bagaimana mungkin kita begitu tega meletakkan syarat untuk berbuat taat, sedangkan Allah memberi kita nikmat tanpa berkira-kira?


وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّواْ نِعْمَتَ اللّهِ لاَ تُحْصُوهَا 
إِنَّ الإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ


"Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya." (Ibrahim: 34)
 
Tidak pernah udara yang kita sedut ini habis, sekalipun hari-hari kita dihiasi maksiat. Tidak pernah pandangan kita tertutup terus lalu kita menjadi buta, sedangkan kita seringkali mengarahkannya kepada sesuatu yang terlarang. Tidak pernah jantung kita berhenti degupannya sekalipun hati kita menduakan Allah dalam cinta.

Bagaimana jika Allah meletakkan syarat bahawa hati kita tidak boleh langsung leka dalam mengingat-Nya atau jika tidak jantung kita akan berhenti berdegup?

Atau udara kita akan dicatu seandainya kita berbuat mungkar?
Atau mungkin syarat yang lebih besar, bahawa kita tidak boleh langsung berbuat silap untuk masuk ke syurga?

Adakah kita boleh meletakkan syarat untuk nyawa kita dicabut hanya ketika kita dalam keadaan melakukan ketaatan?

Sesungguhnya, kita langsung tidak layak meletakkan syarat untuk Allah.

Maka ayuhlah kita bersungguh-sungguh melakukan perintah Allah, dan meninggalkan larangannya, dalam keadaan apapun kita berada, dengan ketentuan apapun yang diputuskan-Nya. Beradablah dengan Allah, kerana kita adalah hamba yang hina.

"Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya (kejahatan). Dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang bagus."
(HR at-Tirmizi)


Hikayat Permusafiran
[Karya asal, akh CitaPemuda]


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share